PERUTUSAN PENGARAH KOLEJ KOMUNITI BESUT

Bismillahirahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Selamat datang ke laman web rasmi Kolej Komuniti Besut yang merupakan salah satu wadah teknologi maklumat terkini bagi menyampai dan mencakupkan segala informasi berkaitan institusi kami. Justeru itu, Kolej Komuniti Besut tidak ketinggalan dalam mengaplikasi ruang laman ini untuk membina hubungan komunikasi merentasi komuniti.

Kolej Komuniti Besut yang telah beroperasi sejak April 2014  terus mengorak langkah seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi melahirkan insan separa professional yang kompeten, berpengetahuan dan berakhlak mulia. Bagi mencapai aspirasi Kementerian yang telah digariskan dalam PPPM (PT) ini, Kolej Komuniti Besut akan meneruskan kecemerlangan dalam melahirkan graduan yang mempunyai minda keusahawanan, meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui penerapan teknologi dan inovasi, serta penglibatan pihak berkepentingan dari segi hubungan industri.Ini boleh dicapai melalui usaha kolaborasi bersama industri dan agensi-agensi yang berkaitan melalui model kerjasama baharu terutama dalam meningkatkan kualiti penyampaian, mengoptimakan sumber, membolehkan pengkhususan dalam bidang kepakaran dan meningkatkan kecekapan kos.

Melalui pencapaian peratusan kebolehpasaran graduan yang melebihi sasaran 80% secara berterusan, Kolej Komuniti Besut juga yakin bahawa graduan yang dihasilkan oleh institusi ini merupakan kumpulan sasaran industri dalam memenuhi keperluan tenaga kerja mereka. Ianya turut mendapat sokongan padu daripada pihak Kementerian dalam memperkasa Sistem Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET Malaysia) sekaligus mengubah dan memperbetulkan persepsi masyarakat yang sering bertanggapan bahawa sistem pendidikan TVET ini sebagai pilihan kedua. Oleh yang demikian, sudah tiba masanya bagi Kolej Komuniti Besut yang juga merupakan salah satu institusi TVET Malaysia bagi memantapkan jaringan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan termasuklah golongan pakar industri, tenaga pengajar, kakitangan sokongan serta para pelajar itu sendiri bagi memastikan bidang TVET ini terus menjadi pendidikan pilihan dan kerjaya masa depan lumayan serta berpotensi tinggi. Disamping itu juga, Kolej Komuniti Besut sentiasa bersifat komited dalam menyampaikan pendidikan TVET yang responsive berpandukan kepada keperluan industri dan mempunyai kepekaan terhadap revolusi industri 4.0.

Akhir kata, selaku Pengarah Kolej Komuniti Besut, saya bertekad akan memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada setiap warga Kolej Komuniti Besut dalam memacu perkhidmatan yang terbaik supaya kecemerlangan Kolej Komuniti Besut terus dapat direncanakan dengan lebih sempurna untuk masa depan yang lebih gemilang. Pihak Kolej Komuniti Besut juga mengalu-alukan maklum balas daripada komuniti untuk dijadikan sebagai rujukan peningkatan kualiti perkhidmatan institusi kami. Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan amanah,

ABDULLAH BIN DAZID @ AB AZIZ
Pengarah
Kolej Komuniti Besut